Kerajaan negeri sedia bantu Al-Barakah
Ahmad Faizal Azumu

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, kerajaan negeri akan berbincang dengan pihak pengurusan pusat pendidikan tersebut untuk mengenal pasti kaedah yang sesuai bagi membolehkan pusat berkenaan terus beroperasi seperti biasa.

Menurutnya, kerajaan negeri tidak dimaklumkan mengenai kekangan dana yang dihadapi oleh pihak pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah sehinggalah isu berkenaan dilaporkan oleh pihak media dan tular di laman sosial.

Katanya, bagaimanapun beliau komited untuk membantu pengurusan Pusat Pendidikan Al-Barakah demi kepentingan para pelajar dan kakitangannya.

“Saya juga menyambut baik keputusan Datuk Mohd. Kazim Elias hari ini untuk menangguhkan cadangan penjualan Unit Tahfiz di Pusat Pengajian Al-Barakah sementara mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri demi kemashlahatan ummah yang mendapat manfaat daripada aktiviti pengajian Islam di pusat berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Faizal menafikan kerajaan negeri mengharamkan Mohd Kazim daripada berceramah.

Tegas beliau, kerajaan negeri tidak pernah sama sekali, secara langsung atau tidak langsung mengeluarkan arahan sedemikian.

“Biarpun begitu, secara peribadi saya memaafkan pihak tidak bertanggungjawab yang terlibat menyebarkan fitnah berkenaan serta mendoakan semoga mereka mendapat pengampunan dan petunjuk dari Allah SWT,” katanya. - UTUSAN ONLINE