Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pengusiran penyewa terbabit tidak akan membuatkan masalah membabitkan isu perumahan PPR itu selesai.

“Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagi alasan ada 400 pemohon lain menunggu, tapi sebenarnya adakah rumah PPR kepada rakyat negeri ini mencukupi.

MUSA SHEIKH FADZIR
MUSA SHEIKH FADZIR 

“Ke mana penyewa ini mahu pergi, mereka tiada rumah lain untuk di­sewa kerana rumah PPR sememangnya tidak mencukupi untuk rakyat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, kira-kira 22 penyewa diarah mengosongkan kediaman masing-masing selepas hilang kelayakan menduduki rumah PPR termasuk melebihi kemampuan, mempunyai rumah lain dan berkahwin dengan warga asing.

Penyewa kemudiannya terpaksa menjadikan pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini sebagai tempat tinggal sementara selepas kediaman itu dikunci Bahagian Perumahan kerajaan negeri.

Musa berkata, UMNO telah menawarkan tempat tinggal sementara kepada penyewa terbabit namun ditolak oleh mereka kerana mahu menyelesaikan perkara tersebut dengan kerajaan negeri.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gerakan Belia 4B Malaysia (GB4BM), Mohamad Nazri Abdul Latiff membe­ritahu, pihaknya mengikuti rapat perkembangan penyewa di kawasan tersebut di mana mereka diusir setelah kediaman disita Bahagian Perumahan Kerajaan negeri Pulau Pinang.

“GB4BM berpandangan kerajaan negeri Pulau Pinang seharusnya membuka ruang rundingan seluas-luasnya de­ngan mengambil kira kesusahan yang dihadapi mereka dalam menempuh cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.