Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, bayaran yang diterima daripada penjualan tersebut akan dimasukkan ke dalam Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) di mana ia boleh digunakan semula untuk pembangunan lebih banyak perumahan Rumah Perakku bagi Golongan ber­pendapatan rendah (B40).

Katanya, cadangan tersebut adalah inisiatif kerajaan negeri dalam membantu golongan Bumiputera di negeri ini untuk memiliki rumah dengan harga antara RM20,000 hingga RM40,000.

"Saya mendapati terdapat beberapa kawasan terutama di bandar-bandar seperti Ipoh contohnya di Bercham di mana jika diletakkan kuota Bumiputera serendah mana pun, kaum Bumiputera tidak berminat untuk membelinya.

"Bagi melepasi kuota ini, pemaju terpaksa menunggu hampir dua tahun dan melalui beberapa proses seperti mengiklankannya di akhbar dan radio namun dalam masa sama, rumah tersebut telah rosak atau dipecah masuk," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan projek pembangunan bersepadu Lestari IUS @ Seri Iskandar milik Team Keris Berhad (TKB) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif TKB, Datuk Lee Seng Hee dan Naib Presidennya, Anuar Abu Hassan.

Sebanyak 600 unit kediaman dan komersial akan dibina di Lestari IUS @ Seri Iskandar dengan fasa pertamanya membabitkan perumahan 175 unit kediaman yang sedang dibina dengan harga jualan dari RM199,500 untuk Bumiputera atau RM210,000 untuk unit terbuka dengan pilihan rumah satu tingkat, satu setengah tingkat dan dua tingkat.

Tempoh sasaran pembangunan di kawasan tersebut dianggarkan 18 bulan daripada sekarang. - UTUSAN ONLINE