Perdana Menteri berkata, berikutan itu, satu kajian akan dilaksanakan bagi menambah bilangan pelajar India terutamanya di pusat-pusat matrikulasi.

“Pada masa sekarang jumlah masyarakat India di ins­titusi pengajian tinggi tidak sampai tujuh peratus.

“Menerusi beberapa usaha yang kerajaan akan lakukan, sasaran tersebut mampu dicapai,” katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama Yayasan MyNadi di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi Yayasan MyNadi, Datuk Seri Dr. S. Jeyaindran.

Perdana Menteri berkata, isu yang melibatkan masyarakat India pada masa kini dapat diatasi sekiranya bidang pendidikan dan nilai-nilai murni dalam keluarga dapat diterapkan serta ditingkatkan.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa kerajaan akan melancarkan satu skim pelaburan khusus dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) untuk masyarakat India yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40) pada 7 April ini.

“Pengumuman lanjut akan dibuat pada tarikh tersebut, bagaimanapun sebanyak 100,000 masyarakat India berpeluang untuk menyertai skim tersebut.

“Sebelum ini pada 29 Janua­ri lalu kerajaan telah membuka sebanyak 1.5 bilion unit dana tambahan AS1M untuk masyarakat India dan dalam masa tiga bulan seba­nyak 411.14 juta unit telah dilanggan. Pencapaian ini sa­ngat menggalakkan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, beliau yakin dengan pelbagai usaha yang telah dilakukan kerajaan pada masa sekarang, nasib masyarakat tersebut akan lebih terbela di masa hadapan.

Sementara itu, Najib turut memuji usaha-usaha yang dilakukan oleh Yayasan MyNadi iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memfokuskan untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India di seluruh negara.