Laman web khas yang boleh diakses melalui pautan https://bajet2018.najibrazak.com itu akan dibuka kepada umum mulai 4 Sept, 2017 sehingga 18 Sept, 2017.

Dalam satu kenyataan media hari ini, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata langkah itu menyamai usaha tahun-tahun sebelum ini berikutan maklum balas dan cadangan rakyat yang memainkan peranan penting dalam pembentukan bajet tahunan negara.

"Terdapat 14 kategori dalam laman ini yang bersesuaian dengan inti pati yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib pada 27 Okt, 2017 kelak.

"Ini antaranya ekonomi digital, kos sara hidup, perumahan dan kehidupan bandar, perkhidmatan penjagaan kesihatan, pengangkutan dan infrastruktur, pembangunan desa, alam sekitar dan pertanian, belia dan sukan, budaya dan pelancongan serta keselamatan awam dan ketelusan," kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, rakyat Malaysia digalakkan untuk mengemukakan sebanyak mungkin input agar dapat sama-sama mengambil bahagian dalam pembentukan #Bajet2018. - BERNAMA