Mohd. Irwan Serigar Abdullah

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah berkata, negara masih dalam landasan untuk mencapai sasaran defisit berkenaan berikutan kebanyakan pendapatan negara diperoleh dalam suku tahun kedua dan tempoh seterusnya.

“Hanya apabila hujung tahun pada bulan Disember, kita dapat membuat pengiraan defisit untuk sepanjang tahun. Kita masih dalam landasan kerana misalannya pembayaran dividen Petronas dijadualkan pada suku tahun kedua, selain itu, kita juga akan masuk ke dalam pasaran untuk menge­luarkan bon.

“Kalau pengiraan dibuat bulanan, ada bulan yang pendapatan kurang tetapi ada juga bulan yang defisitnya lebih kecil daripada kita jangkakan, jadi kita kekal dengan sasaran defisit fiskal tiga peratus tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan di kompleks kementerian berkenaan di sini hari ini.

Majlis berkenaan dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan lebih 5,000 tetamu.

Pada 7 Julai lalu, media menyiar­kan laporan Citi Research yang menyatakan perbelanjaan kerajaan yang meningkat menunjukkan jurang defisit negara me­lebar kepada RM30.5 bilion dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini berbanding RM26 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Menurut Mohd. Irwan, kerajaan kekal dengan sasaran ber­kenaan kerana prestasi ekonomi yang baik dengan perdagangan Malaysia meningkat 31.5 peratus pada Mei lalu berbanding bulan sama tahun lalu, kadar inflasi turun kepada 3.9 peratus daripada 4.4 peratus dan rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) yang kukuh.

Katanya lagi, kerajaan juga memperoleh pelbagai pendapatan termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) setakat ini telah mengutip RM55 bilion, penjualan empangan hidro elektrik Bakun serta pencairan aset-aset kerajaan.

“Ekonomi semakin baik dan kita juga jangkakan bajet yang baik tahun ini, jadi tidak perlu untuk isu defisit melebar se­perti ini kerana perbahasannya tidak berasas, tunggu sehingga Di­sember depan dan angka ber­kenaan akan menunjukkannya,” katanya.