Beliau berkata, operasi bersepadu melibatkan lebih lima agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara itu memberi banyak manfaat ter­utama kepada rakyat sejak ia dilancarkan.

Menurutnya, selain menjimatkan wang kerajaan, masalah kehabisan stok diesel di stesen minyak di seluruh negara juga sudah tidak berlaku sejak operasi berkenaan.

“Sebelum ini, setiap hari kita terima aduan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengenai masalah kehabisan stok diesel di stesen minyak sebab penyelewengan tetapi sekarang masalah itu sudah tidak berlaku lagi,” katanya selepas menghadiri Program Pemurnian Pengurusan Organisasi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di Juasseh dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNKK, Datuk Seri Alias Ahmad.

Menurut Hasan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati terbabit dalam aktiviti penyelewengan diesel dengan mengheret mereka ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kita mengambil pendekatan tegas. Dulu kita kompaun sahaja tetapi saya lihat ia tidak berkesan jadi menerusi Ops Titik kita dakwa mereka di mahkamah,” katanya.

Tambahnya, Ops Titik akan ditamatkan pada 31 Disember ini namun risikan dan penguatkuasaan terhadap penyelewengan bahan bakar bersubsidi itu akan diteruskan.

“Apabila keadaan sudah terkawal, saya mengambil ketetapan untuk tamatkan Ops Titik. Operasi akan terus dijalankan tetapi Ops Titik yang dilakukan secara bersepadu ini dihentikan,” katanya.