Kementerian Luar dalam satu kenyataan memberitahu, kerajaan negara itu tidak akan mencampuri urusan dalaman Kerajaan Malaysia.

“Melalui perbincangan di antara Kementerian Luar dengan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, pihak pesuruhjaya tinggi telah memberikan jaminan bahawa Kerajaan India menyokong sepenuhnya tindakan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi menangani isu ini dan tidak akan mencampuri urusan dalaman Kerajaan Malaysia,” katanya di sini hari ini.

Jaminan oleh pihak Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia itu diberikan selepas berlakunya peristiwa penyerahan memorandum kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai, India oleh sebuah parti kecil berhaluan kanan dan ekstremis di daerah Tamil Nadu, India iaitu Hindu Makkal Katchi pada 28 November lalu.

Memorandum itu secara dasarnya mengutuk insiden perbalahan di kuil tersebut dengan menyatakan kononnya sebanyak 200 orang pengganas Islam telah membuat serangan ke atas kuil serta penganut Hindu yang cuba mempertahankan kuil tersebut.

Memorandum tersebut mendakwa Kerajaan Malaysia bersikap berat sebelah terhadap penganut Hindu di Malaysia selain menyalahkan Kerajaan Malaysia kerana tidak mengambil sebarang tindakan berhubung insiden tersebut.

Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika di Parlimen, telah menyatakan dengan jelas bahawa insiden perbalahan tersebut merupakan kes jenayah dan tidak mempunyai kaitan dengan sentimen perkauman.

“Pihak polis turut telah menahan 30 individu yang terlibat dengan insiden perbalahan tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE