Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong berkata, perkara tersebut telah dibincangkan sejak Oktober tahun lalu dan dijangka digubal tahun ini.

Beliau berkata, perbinca­ngan bersama Jabatan Peguam Negara itu turut melibatkan beberapa lagi akta baharu selain penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada.

 

“Setakat ini kita masih terikat dengan akta lama. Antara perkara yang akan diberikan penekanan dalam akta baharu bagi melindungi institusi diraja ialah hukuman yang akan dikenakan terhadap mereka yang bersalah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

“Mesyuarat akan diadakan pada hujung bulan ini dan segala pelaksanaan dan pindaan tertakluk kepada persetujuan kementerian berkaitan dan jemaah menteri,” tambahnya.

Sebelum ini terdapat gesaan dan saranan daripada pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar kerajaan menggubal akta baharu bagi menangani kes penghinaan terhadap raja dan sultan di negara ini.

Gesaan itu merupakan susulan tindakan beberapa individu yang memuat naik komen dalam media sosial yang berunsur hinaan terhadap Sultan Muhammad V berkaitan isu peletakan jawatan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Vui Keong berkata, dalam pelaksanaan akta baharu itu, Malaysia mungkin merujuk undang-undang yang telah diamalkan oleh negara Komanwel termasuk yang diguna pakai di United Kingdom (UK).

“Hal ini kerana kita dapat lihat beberapa negara Komanwel mengamalkan monarki sama seperti Malaysia. Bagaimanapun, kita kena lihat semua dan yang penting sekali kedaulatan institusi diraja di negara ini semestinya dijaga,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Vui Keong memaklumkan cadangan pemansuhan akta hukuman mati mandatori dilaksanakan melalui penelitian menyeluruh dengan mengambil kira pandangan semua pihak berkepentingan.