Perdana Menteri berkata, pada masa sama kerajaan amat menghargai usaha pertubuhan-pertubuhan sedia ada kerana mereka membantu orang lain tanpa mengharapkan balasan.

Dalam hal itu beliau berkata, Kerajaan Persekutuan bersedia menghulurkan sebarang bantuan sama ada dari segi kewangan atau dalam bentuk infrastruktur.

“Bilangan rakyat Malaysia kini sudah melebihi 32 juta orang, adalah mustahil bagi kerajaan dan agensi kerajaan untuk menjaga kebajikan setiap penduduk.

“Disebabkan itulah wujudnya NGO yang tidak mengambil keuntungan dalam menjaga kebajikan golongan kurang bernasib baik seperti gelandangan, warga emas, anak yatim dan lain-lain,” katanya dalam rakaman video yang dimuat naik di laman blog beliau, najibrazak.com, hari ini.

Menurutnya, pertubuhan sukarelawan yang berdaftar boleh memohon bantuan kewangan dalam bentuk geran melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menurut Perdana Menteri, terdapat pelbagai jenis geran disediakan untuk NGO berkaitan se­perti geran pentadbiran, rangsum, pembaikan dan elaun khas murid orang kurang upaya (OKU).

Katanya, bantuan khas perbendaharaan juga disediakan iaitu bantuan kewangan yang diagihkan kepada NGO bagi pelaksanaan program pemba­ngunan wanita, keluarga dan masyarakat.

“Badan sukarelawan yang berdaftar juga boleh memohon pengecualian cukai.

“Kerajaan juga berharap dapat bekerjasama secara langsung dengan NGO supaya lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan,” katanya.