Harapan itu disuarakan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Kuala Langat, Jefrizal Mohd. Jaafar memandangkan syarat BKAP1M yang diberikan mengikut pendapatan bulanan isi rumah RM3,000 ke bawah ketika ini mendapat rungutan daripada para ibu bapa khususnya yang memiliki bilangan anak yang ramai.

“Berdasarkan maklum balas yang diterima khususnya di kawasan Parlimen Kuala Langat, ramai para ibu bapa yang mempunyai pendapatan isi rumah lebih RM3,000 hingga RM4,000 menanggung beban kos tinggi apabila sesi persekolahan bermula setiap tahun.

“Bagi mereka yang mempunyai bilangan anak yang sedikit, mungkin syarat BKAP1M yang sedia ada tidak mendatangkan sebarang masalah. Bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai melebihi lima orang sudah tentunya kos tanggungan kewangan itu agak tinggi,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Jefrizal mencadangkan kerajaan supaya menyelaraskan syarat pemberian BKAP1M sama seperti syarat yang ditetapkan dalam pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang membabitkan para penerima yang berpendapatan isi rumah bulanan sebanyak RM4,000 dan ke bawah.

“Isu membabitkan kos sara hidup sebenarnya sentiasa dibicarakan oleh rakyat setiap hari. Justeru, dengan penyelarasan semula syarat BKAP1M ini, ia sedikit sebanyak membantu golongan rakyat berpendapatan rendah dari segi pengurangan beban kewangan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE.