Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, pihaknya akan menghantar cadangan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan agar elaun kepada pasukan elit itu dapat disemak semula.

Katanya, bilangan keanggotaan dalam unit 69 Komando masih kurang berbanding jumlah penjawatan yang disediakan di mana kekuatan anggota dalam unit itu pada masa ini adalah seramai 379 orang daripada lebih 650 penjawatan yang disediakan.

“Masalah kekurangan kekuatan anggota itu bukan sahaja dihadapi oleh 69 Komando malaha Unit Tindakan Khas (UTK) juga menghadapi perkara sama selain negara-negara luar seperti Amerika Syarikat dan Kanada.

“Mungkin terdapat beberapa faktor yang menyebabkan orang kurang minat untuk menyertai unit elit ini antaranya dari segi elaun di mana mereka yang menyertainya perlu ada kepakaran tertentu namun kemahiran yang dimiliki itu tidak dibayar elaun.

“Ini antara perkara yang diberitahu dan pihak ibu pejabat KDNKA sedang berusaha supaya elaun dan faedah-faedah kepada 69 Komando dan UTK ini dapat ditambah,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Asas Taktikal Payung Terjun Siri 1/2019 dan Majlis Penganugerahan Sayap Kehormat di Lapangan Terbang Tekah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Komander Unit 69 Komando, Senior Asisten Komisoner Abdul Razak Mohd. Yusoff dan Ketua Penolong Pengarah Pasukan Khas Siasatan Bersepadu Urusetia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Mohd. Nasri Omar.

Dalam majlis tersebut, seramai 32 pelatih termasuk 10 wanita yang terdiri daripada pegawai dan anggota pangkat rendah 69 Komando serta UTK berjaya menamatkan kursus latihan asas terjunan yang dijalankan selama sebulan. - UTUSAN ONLINE