Sambil mengakui media sosial boleh disalahgunakan dengan serius, Perdana Menteri berkata, kerajaan memansuhkan akta itu seperti dijanjikan kepada rakyat yang mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang lalu.

“Ini bermakna kita perlu belajar cara mengendalikan berita palsu itu. Apabila kita mempunyai undang-undang yang menghalang orang daripada menyiarkan pandangan mereka, kita takut kerajaan sendiri boleh menyalahgunakannya seperti yang terjadi pada kerajaan terdahulu.

“Kami tidak mahu mana-mana kerajaan yang ini atau yang seterusnya menggunakan undang-undang untuk membuat berita palsu bagi mengekalkan diri sendiri (kekal berkuasa).

“Sudah tentulah (berita palsu) sukar ditangani tetapi kita percaya kita dapat menerima cabaran dan dapat mengendalikannya,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas Sesi Pemukiman Ke-9 Pemimpin Malaysia- Singapura di bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Pada September 2018, Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat sebelum itu.

Dr. Mahathir berkata demikian menjawab soalan mengenai kritikan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Reporters Without Borders (RSF) ke atas kerajaan Singapura yang memperkenalkan Akta Perlindungan dan Manipulasi Berita Tidak Benar (POFMA) berbanding Malaysia memansuhkna akta seumpama itu.

Mengulas isu berkenaan, Hsien Leong berkata, berita palsu adalah masalah serius dihadapi oleh banyak negara dan Singapura bukanlah satu-satunya negara yang memperkenalkan akta sedemikian.

“POFMA merupakan langkah signifikan yang diambil kerajaan dan kerajaan akan terus melakukan apa sahaja demi kebaikan Singapura,” katanya. - UTUSAN ONLINE