Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penca­paian masyarakat itu dalam pendidikan sangat memberangsangkan berikutan seramai 127 pelajarnya memasuki asrama penuh dan 850 orang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Selain itu kata beliau, seramai 87 anak Orang Asli dihantar melanjutkan pengajian di luar negara dalam pelbagai bidang menerusi tajaan Mara.

“Tidak ada isu lagi mengenai pendidikan Orang Asli dan tidak boleh timbul lagi persepsi yang mengatakan masyarakat ini ke­tinggalan dalam pendidikan ke­rana perancangan serta dasar yang dibuat oleh kerajaan memberikan perhatian sepenuhnya kepada mereka sehingga berjaya menerusi pendidikan.

“Malah tidak ada isu besar dari segi keciciran kerana purata keciciran tahun enam ke tingkatan satu menunjukkan pe­nurunan iaitu 16.75 peratus pada 2017 berbanding 20 peratus tahun sebelumnya,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Transformasi Pendidikan Orang Asli Parlimen Bera di Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh di sini hari ini.

Menurut Ismail Sabri, pencapaian anak-anak Orang Asli amat membanggakan dan ramai daripada mereka mendapat keputusan serta pekerjaan yang baik.

Beliau memberitahu, sehingga kini terdapat sembilan anak Orang Asli mengikuti pe­ngajian tertinggi peringkat doktor falsafah dan 27 orang di peringkat sarjana, selain ramai lagi dalam peringkat ijazah serta diploma.

Dalam pada itu beliau berkata, kerajaan BN akan terus memperkasakan usaha memartabatkan pendidikan dalam kalangan masyarakat Orang Asli dari semasa ke semasa.

Tambah beliau, pelbagai program dilaksanakan termasuk memberi bantuan tambang pe­ngangkutan, makanan percuma dan kemudahan asrama kepada anak-anak Orang Asli.

“Bagi mereka yang memasuki universiti, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kalau dahulu one off RM1,000 tetapi mulai tahun ini sebanyak RM3,000 untuk anak Orang Asli dan tidak termasuk pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Kita di kementerian me­nyasarkan menghantar minimum 15 orang anak Orang Asli melalui Mara setahun ke luar negara dan semua ditanggung biasiswa,” ujarnya.