MUZAFFAR SYAH MALLOW
MUZAFFAR SYAH MALLOW

Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, tindakan tersebut adalah wajar dan bukanlah suatu dosa atau kesalahan besar kepada Malaysia.

Katanya, dalam sesuatu kontrak atau perjanjian kemungkinan wujud peruntukan tertentu membenarkan satu proses semakan dibuat dengan mengambil kira situa­si semasa berbanding de­ngan keadaan lebih 50 tahun dahulu.

“Adalah disarankan supaya kerajaan Malaysia mendapatkan semua perjanjian air yang telah dibuat dengan Singapura serta menyerahkannya kepada pejabat Peguam Negara untuk dikaji dengan sedalam-dalamnya.

“Apa yang pa­ling penting adalah sebarang jenis perjanjian yang dibuat perlu adil dan saksama dengan semua pihak yang terlibat dengan perjanjian seperti sering dilaungkan Singapura dalam urusan bersama Malaysia iaitu mesti ada suasana menang-menang dalam segala usahasama,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian berkata, kerajaan akan menaikkan harga jualan air mentahnya kepada Singapura pada nilai yang berpatutan dan sesuai dengan keadaan semasa.

Katanya, harga baharu itu berkemungkinan sama de­ngan kadar jualan air mentah yang ditetapkan untuk kerajaan Melaka iaitu 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

Muzaffar Syah menambah, perkara sama per­nah dibangkitkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bulan lalu dan ketika ditemubual wartawan beliau menyatakan hasrat untuk mengkaji semula perjanjian air kerana melihat harga yang dikenakan tidak masuk akal.

“Mengulas hasrat Perdana Menteri Malaysia terhadap perkara ini, pihak jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura pula menyatakan bahawa kedua-dua negara Malaysia dan Singapura mesti mematuhi sepenuhnya syarat Perjanjian Air 1962 dan Perjanjian Pemisahan 1965,” katanya.