Perdana Menteri menjelaskan, pencapaian-pencapaian itu menyumbang kepada strategi untuk meletak pendidikan negara di peringkat antarabangsa.

Katanya, ahli akademik merupakan golongan paling penting dalam melahirkan graduan yang mampu menghadapi cabaran masa depan yang bukan hanya memerlukan penguasaan ilmu tetapi juga memiliki nilai dan kebijaksanaan dalam berhadapan dengan cabaran kehidupan amat kompleks.

"Usaha membudayakan ilmu dan nilai-nilai murni dalam kalangan graduan tidak hanya bergantung kepada kehebatan infrastruktur dan prasarana institusi, malah perlu dididik oleh akademia yang memahami, mendalami dan menghayati falsafah pendidikan negara.

"Ini termasuk menggunakan dengan sebaik-baiknya bahan pembelajaran dan pengajaran kontemporari dan mengaplikasi mod pembelajaran dan pengajaran yang terkini," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian Anugerah Akademik Negara (AAN) kali ke-12 di sini hari ini.

Pada majlis itu, ahli akademik dari Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Jomo Kwame Sundram diumumkan sebagai pemerima Anugerah Tokoh Akademik Negara sekali gus menerima hadiah wang tunai RM200,000 beserta trofi dan sijil.

Enam kategori lain adalah Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan yang mana penerimanya meraih wang tunai RM50,000.00 berserta trofi dan sijil.

Yang turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik dan naib-naib canselor universiti tempatan.

Dr. Mahathir menambah, walaupun masih terdapat banyak ruang untuk kemajuan, pencapaian yang ditunjukkan oleh warga Institusi pendidikan tinggi di Malaysia dalam memenuhi aspirasi pendidikan tinggi negara adalah menggalakkan.

Katanya, pelbagai inisiatif Kementerian Pendidikan ke arah penyediaan graduan yang holistik dan seimbang telah dilaksanakan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara.

"Adalah diharap agar Anugerah Akademik Negara ini akan menjadi galakan kepada usaha peningkatan akademik di Institut Pengajian Tinggi," katanya.

Dalam masa sama, jelas beliau, kerajaan komited untuk menjadikan pendidikan berkualiti sebagai agenda utama negara dan antara inisiatif ke arah itu adalah mengiktiraf pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET). - UTUSAN ONLINE