Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Said Keruak juga mendedahkan sebanyak RM500,000 dana disumbangkan kepada Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) bagi menjalankan pelbagai aktiviti penghasilan kartun dan animasi.

Katanya, kerajaan juga memperuntukkan RM200,000 bagi mendigitalkan majalah komik Gila-Gila yang popular dalam kalangan masyarakat tempatan.

“Saya berpendapat majalah Gila-Gila merupakan majalah yang amat kita kenali serta sebuah khazanah penting jadi usaha mendigitalkan majalah ini adalah perlu, kalau tidak majalah yang sudah wujud 40 tahun ini akan hilang begitu sahaja.

“Sebab itu juga kerajaan bersetuju untuk membeli karya animasi melalui Persatuan Animasi Malaysia (Animas) bernilai RM2 juta, ketika ini mereka mempunyai pelbagai dokumentari dan siri animasi tempatan, jadi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Animas diminta untuk menilai siri yang akan ditayangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Jamuan Makan Malam dan Penghargaan Kartunis 2018 sempena Hari Kartunis Malaysia 2018.

Dalam majlis tersebut, Anugerah Kartun dan Animasi 2018 turut diadakan bagi mengiktiraf kartunis dan penghasil animasi yang telah banyak berjasa kepada negara.

Kartunis Maro atau nama sebenarnya Nor Kamaro Mohd. Noor meraih Anugerah Kartunis Akhbar Terbaik diikuti Tokoh Kartunis 2018 dimenangi Jaafar Taib manakala majalah Gila-Gila menerima Anugerah Khas sempena 40 tahun penerbitan. - UTUSAN ONLINE