Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, kemudahan telekomunikasi dan internet terutama di kawasan pinggir dan luar bandar penting dalam menyokong usaha kerajaan meningkatkan perkhidmatan e-Dagang.

Katanya, sejak diperkenalkan, perkhidmatan e-Dagang mendapat sambutan cukup menggalakkan dalam kalangan usahawan kecil di luar bandar kerana dapat membantu meluaskan perniagaan dan meningkatkan hasil pendapatan mereka.

“Sejak perkhidmatan e-Dagang diperkenalkan, Pusat Mel Ku­ c­hing (Pos Malaysia), sudah kurang menerima dan memproses surat berbanding kebiasaan.

“Kita difahamkan dalam sehari, pusat ini hanya memproses kira-kira 230,000 surat iaitu berkura­ngan berbanding dahulu, manakala perkhidmatan e-Dagang disediakan Pos Malaysia mencatatkan peningkatan dengan menguruskan 30,000 transaksi sehari,” katanya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Mel Kuching, Pos Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, selain memperluaskan penggunaan e-Dagang, Pos Malaysia sedang rancak me­laksanakan proses modenisasi per­khidmatannya di negeri ini dengan menaik taraf lapan Pejabat Pos dan sebuah Pusat Pos Laju.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM500,000 bagi setiap satu Pejabat Pos yang dinaik taraf iaitu di Kapit, Serian, Limbang, Lutong, Bintagor, Saratok, Sarikei dan Sri Aman, manakala RM1 juta bagi Pusat Pos Laju.

Menurut beliau, kerajaan komi­ted meningkatkan perkhidmatan Pos Malaysia terutama di Sarawak kerana menyedari peranannya yang cukup besar dalam menghubungkan rakyat yang tinggal di kawasan mempunyai masalah infrastruktur dengan dunia luar.

“Kita boleh melihat bahawa Pos Malaysia memainkan peranan bukan sahaja menyelesaikan masalah infrastruktur tetapi menyampaikan surat terus kepada rakyat di seluruh pelosok dunia,” ujarnya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan di bawah kementeriannya sama ada melalui Pos Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menyediakan prasarana terutama Pusat Internet 1Malaysia yang mana di Sarawak sahaja telah ada 124 buah.