Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif itu merupakan satu penambahbaikan ketara kepada Belanjawan 2019 yang membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar sahaja untuk tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan me­nganggarkan bahawa pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya akan melibatkan bayaran pampasan berjumlah RM972.75 juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang ber­kenaan.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas Lima (bas) dengan anggaran kos RM1.68 juta di lapan lebuh raya ber­asingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jamba­tan Kedua Pulau Pinang) dan Le­buh Raya Laluan Kedua di Johor.

“Pemansuhan tol motosikal itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 dan langkah pemansuhan ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM20 juta setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1 Januari depan.

“Secara keseluru­han, kos kerajaan pada tahun hadapan bagi pampasan tol dianggarkan sebanyak RM994.43 juta. Per­be­lanjaan ini adalah untuk manfaat rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, pembekuan komprehensif itu adalah berasaskan kepada tanggungjawab kerajaan dipimpin Pakatan Harapan untuk meri­ngankan beban sara hidup yang dipikul oleh rakyat.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan sedang mengkaji kaedah terbaik untuk memenuhi janji manifesto yang terkandung dalam Buku Harapan dan pembekuan kenaikan kadar tol ini adalah sebahagian daripada usaha tersebut.