Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peruntukan tersebut akan disalurkan secepat mungkin dalam memastikan mangsa dapat pulang dan kembali menetap di rumah masing-masing.

“Kita ada peruntukan untuk bina semula rumah mangsa yang terjejas mungkin tak sepenuhnya macam dahulu tetapi mereka akan dapat balik semula ke rumah.

“Peruntukan akan diberikan secepat mungkin,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata demikian selepas melawat mangsa ribut di Sekolah Kebangsaan (SK) Teriang di sini hari ini.

Hadir sama isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Dalam kejadian Khamis lepas, ribut yang berlaku kira-kira pukul 4 pagi itu mengakibatkan kerugian sehingga hampir RM2.6 juta dengan kira-kira 63 buah rumah mengalami kerosakan selain jalan raya dipenuhi pokok tumbang. 

Mengulas lanjut kata beliau, kerajaan turut menyalurkan bantuan segera untuk meringankan beban mangsa terlibat.

“Ada juga bantuan daripada orang ramai yang kutip wang lebih daripada RM20,000. Walaupun kutip di tepi jalan dapat sampai RM9,000.

“Orang Langkawi prihatin mereka keluarkan wang bantu orang susah. Pihak kerajaan juga akan beri bantuan,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengucapkan tahniah kepada agensi kerajaan yang bertindak pantas membantu dan menyelamat mangsa dalam kejadian awal pagi itu.-UTUSAN ONLINE