SALLEH SAID KERUAK

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, pelaksanaan pelan itu yang bermula tahun ini, telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Pelan ini dihasratkan untuk memastikan sasaran kelajuan jalur lebar dua kali ganda boleh dicapai,” katanya kepada Bernama hari ini.

Salleh berkata, rangkaian fiber di bawah pelan itu akan menghubungkan kira-kira enam juta premis termasuk kira-kira dua juta di kawasan luar bandar.

“Pelaksanaan pelan ini adalah penting bagi memastikan negara terus berdaya saing dan rakyat Malaysia, terutamanya komuniti luar bandar, dapat menikmati manfaat daripada ekonomi digital secara saksama,” katanya.

Salleh berkata, pelan itu akan dilaksanakan melalui kerjasama antara entiti yang relevan bagi penyediaan perkhidmatan borong jalur lebar berasaskan fiber.

Beliau berkata model pelaksanaan adalah dalam bentuk 3-Tier atau 3 peringkat.

Tier 1 akan bertumpu pada kemudahan 'backhaul' kepunyaan Tenaga Nasional Berhad, Tier 2 untuk sambungan terakhir dan Tier 3 untuk penyediaan perkhidmatan runcit yang akan ditawarkan oleh syarikat telekomunikasi sedia ada.

Pelan itu akan dipantau oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah rangka kerja kawal selia sedia ada bagi memastikan pencapaian mengikut sasaran yang ditetapkan, katanya. – BERNAMA