Baru Bian.
Baru Bian

Beliau berkata apabila dikemukakan, hanya kerajaan akan membuat keputusan muktamad berhubung rancangan masa depan mengenai isu tol.

Beliau berkata dalam pada itu, satu atau dua syarikat pemegang konsesi tol telah mengemukakan cadangan tertentu yang boleh dilaksanakan buat sementara.

"Malah kita sedang mengkajinya dalam jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Terdapat beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat iaitu dalam jangka pendek.

"Ini adalah perkara-perkara yang saya fikir dirujuk oleh Tan Sri Muhyiddin. Bukan keseluruhan isu tol," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan majlis pelantikan anggota jawatankuasa cabang PKR zon tengah Sarawak.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau diminta mengulas ucapan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa ceramah bagi pilihan raya kecil DUN Semenyih malam tadi yang membayangkan bahawa Kabinet mungkin membuat pengumuman mengenai tol dalam masa terdekat.

Beliau dipetik sebagai berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) akan mengeluarkan kenyataan mengenai tol dalam sehari dua ini.

Baru berkata antara cadangan baik yang ditawarkan oleh syarikat konsesi adalah pengurangan kadar tol semasa musim atau masa tertentu, yang sedang dikaji oleh kerajaan.

Sementara itu, Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak berkata majlis kepimpinan negeri akan mencari jalan dan cara untuk membantu semua cawangan membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 yang beliau meramalkan diadakan seawal pertengahan tahun depan.

Bersama dengan parti-parti lain dalam Pakatan Harapan, Baru berkata mereka harus bekerjasama secara senada kerana peluang untuk mengambil alih kerajaan negeri daripada Gabungan Parti Sarawak adalah cerah kali ini.- BERNAMA