Shamrahayu AbDUL Aziz

Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Shamrahayu Abdul Aziz berkata, tuduhan bagaimana keputusan DUN Kelantan itu telah bertentangan dengan Perlembagaan seperti yang didakwa oleh Majlis Peguam adalah tidak jelas.

Katanya, keputusan DUN nege­ri itu juga tidak mengubah mana-mana perundangan substantif berkenaan kesalahan, sebaliknya hanya berkaitan tatacara pelaksanaan hukuman sebat membabitkan hukuman itu yang boleh dilakukan di hadapan di khayalak ramai.

“Saya tidak jelas apakah bentuk pe­langgaran Perlembangaan yang dimaksudkan. Mungkin Maj­lis Peguam salah faham dengan laporan-laporan akhbar kononnya pindaan enakmen itu berkait rapat dengan dengan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) yang mungkin diluluskan di Dewan Rakyat kelak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut laporan oleh sebuah portal berita tempatan, Majlis Peguam berpendapat, pindaan yang dilakukan oleh DUN Kelantan pada Rabu lalu adalah bercanggah dengan Per­lembagaan.

Pengerusi Jawatan­kuasa Undang-Undang Syariah Majlis Pegu­am, Kuthubul Zaman Bukhari berkata, hal itu kerana pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU 355 belum diluluskan di Parlimen setakat ini.

Pada masa sama, Shamrahayu berkata, beberapa tempat yang sesuai untuk melaksanakan hukuman sebat di khayalak ramai itu juga perlu diwartakan oleh kerajaan negeri, termasuk menjelaskan maksud orang awam yang boleh menyaksikan hukuman tersebut.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Khairil Azmin Mokhtar juga bersependapat bahawa, agak sukar untuk dipastikan apakah bentuk percanggahan yang dimaksudkan oleh Majlis Peguam.

Beliau bagaimanapun berkata, kesemua pihak termasuk Majlis Peguam dan Kerajaan Negeri Kelantan perlu bersemuka bagi merungkai segala perbezaan pandangan berkaitan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 (Pindaan 2017) itu.

“Perbincangan dan penjelasan daripada kerajaan negeri wajar diperoleh oleh Majlis Peguam. Perkara membabitkan perundangan akan mengelirukan jika disalah tafsir oleh pelbagai pihak yang berpengaruh,” katanya.

Khairil Azmin juga berkata, kelulusan RUU itu perlu ditangani secara rasional dan berfikiran terbuka bagi memastikan hal itu tidak dipolitikkan.