Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik berkata, keputusan akan dibuat selepas mendengar hasil taklimat jawatankuasa pengurusan bencana ketika mengadakan lawatan ke bilik gerakan di Pejabat Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

“Selepas ini saya akan mendengar taklimat daripada jawatankuasa pengurusan bencana di bilik gerakan utama, ini penting untuk tentukan sampai bila sekolah akan ditutup. Saya perlukan data, input, nasihat dan pandangan daripada mereka.

“Saya rasa agak tenang bila ramai pesakit dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan sekolah yang telah keluar hospital berbanding jumlah yang ramai sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pagi ini.

Rabu lalu, 111 sekolah di kawasan Pasir Gudang yang diarahkan tutup serta-merta ekoran pencemaran toksik di Sungai Kim Kim.

Maszlee berkata, keselamatan dan kesihatan murid, guru serta kakitangan sekolah menjadi keutamaan pihak kementerian dan sentiasa akan memberi pemantauan berterusan memastikan keselamatan mereka terjamin. - UTUSAN ONLINE