Ini kerana Seksyen 13A(2) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak menyatakan anak luar nikah yang beragama Islam mesti berbin atau berbintikan `Abdullah’ ketika mendaftarkan kelahiran.

Perkara itu akan diputuskan dalam rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Ketua Pengarahnya serta Kerajaan Malaysia terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang tidak memihak kepada mereka.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang bersidang bersama Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah, Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali menangguhkan keputusan pada satu tarikh lain.

Mahkamah tertinggi negara mendengar persoalan undang-undang sama ada peruntukan Seksyen 13A terpakai kepada pendaftaran kelahiran kanak-kanak beragama Islam bagi membolehkan kanak-kanak tersebut dibinkan kepada nama peribadi orang yang mengaku sebagai bapa.

Persoalan selanjutnya ialah sama ada Mahkamah Sivil boleh memutuskan persoalan atau hal kesahtarafan kanak-kanak beragama Islam berhubung penamaan dan penasaban.

Persoalan lain ialah sama ada dalam membuat pendaftaran kelahiran kanak-kanak beragama Islam, Pendaftar Kelahiran dan Kematian boleh merujuk dan bergantung kepada sumber perundangan Islam mengenai kesahtarafan.

Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) dibenar bertindak sebagai pencelah dalam rayuan itu.

JPN dan dua pihak lagi merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang menyatakan anak luar nikah pasangan beragama Islam tidak perlu lagi menggunakan bin atau binti ‘Abdullah’, sebaliknya mereka layak menggunakan nama bapa masing-masing dalam sijil kelahiran.

Keputusan penting itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat ketika membenarkan rayuan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun itu dan kedua ibu bapanya (identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah).

Beliau yang bersidang bersama Datuk Abdul Rahman Sebli dan Puan Sri Zaleha Yusof sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak semakan kehakiman yang difailkan oleh ketiga-tiganya. - UTUSAN ONLINE

NORLIZAH ABAS