Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Mohd. Nazari Ismail (gambar) berkata, keputusan tersebut sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan Amerika langsung tidak berminat untuk bersikap adil dalam isu konflik di Asia Barat.

“Mereka (Amerika) bukan sahaja kejam malah turut mengenepikan keputusan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengiktiraf Jerusalem Timur sebagai kawasan milik rakyat Palestin serta menyokong tindakan Israel yang merampas tanah Palestin di kawasan tersebut (Jurusalem),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Dr. Yusri Mohamad berkata, pihak Yadim mengutuk keras tindakan Amerika itu yang disifatkan sangat biadab dan menyebabkan rantau berkenaan terus dibelenggu pergolakan.

“Kami menyokong penuh pendirian tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap isu tersebut dan meminta seluruh umat Islam berdoa demi kesejahteraan Palestin.

“Sesungguhnya, Baitulmaqdis adalah sebuah kawasan yang suci dan istimewa kepada umat Islam. Ia perlu dikekalkan sebagai sebuah kawasan aman dan terhindar daripada isu-isu yang boleh menggugat keamanan dan keselamatan,” katanya.

Yusri berkata, status Baitulmaqdis seharusnya tidak ditentukan negara itu sahaja, sebaliknya Amerika Syarikat perlu melihat semua aspek sebelum membuat keputusan termasuklah soal keselamatan dan persetujuan semua pihak.