Mat Deris Mahmood
Mat Deris Mahmood

Pengurus Jualan Tiket Batuta Travel & Tours, Dr. Mat Deris Mahmood berkata, syarikat yang mengelola pakej haji dan umrah tersebut amat mementingkan perkhidmatan semasa serta selepas jualan yang terbaik dalam melayani permintaan pelanggan.

Katanya, perkara berkenaan dapat dilihat apabila Batuta Travel & Tours dapat bertahan selama 30 tahun sehingga hari ini walaupun tidak memberi fokus kepada aktiviti pemasaran yang agresif.

“Kami yakin dengan perkhidmatan yang kami tawarkan sememangnya memenuhi kepuasan pelanggan sehingga mendapat sambutan menggalakkan bukan sahaja pelanggan dari Kota Bharu, malah dari negeri-negeri lain.

“Kami juga sungguh teruja diberi pengiktirafan dalam anugerah yang berprestij ini yang ternyata memberi semangat kepada kami untuk mengembangkan lagi perniagaan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Batuta Travel & Tours yang berpangkalan di Kota Bharu menerima Anugerah Pulangan Ekuiti Terbaik bagi kategori Perkhidmatan Hospitaliti Terbaik dalam Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 yang dianjurkan baru-baru ini.

Anugerah PKS Patuh Syariah Bank Islam-Utusan 2017 merupakan anjuran Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) dengan kerjasama rakan-rakan strategiknya, Kumpulan Utusan, SME Corp. dan Visa Malaysia bagi memberi pengiktirafan kepada PKS patuh shariah dalam lapan kategori yang dipertandingkan.

Ia dinilai oleh panel hakim profesional dari SME Corp., Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Tambah Mat Deris, Batuta Travel & Tours sedang giat merencana strategi baharu mengembangkan perniagaan dan bakal memperkenalkan pakej pelancongan Muslim ke luar negara selain memperkukuhkan pakej haji dan umrah sedia ada.

Katanya, antara negara yang menjadi tumpuan bagi pakej pelancongan baharu Batuta Travel & Tours adalah ke China dan negara-negara ASEAN seperti Vietnam dan Kemboja.

“Permintaan bagi mengadakan pakej ke negara-negara berkenaan sangat tinggi dan kami merasakan peluang perniagaan ke sana sungguh luas.

“Kami juga sedang merancang untuk sebuah menambah cawangan baharu syarikat setelah mempunyai cawa­ngan di Kuala Lumpur dan Ipoh ketika ini serta wakil jualan di Perlis, Johor, Melaka dan Terengganu,” katanya.