NAJEE MAHSHAR
NAJEE MAHSHAR

Ini berikutan banyak kes seperti kemalangan jalan raya sebelum ini gagal dibawa ke muka pengadilan berikutan kekurangan bukti, tidak kurang juga kes jenayah terbaharu membabitkan seorang pemandu Grab yang ditemukan mati akibat dijerut dalam kenderaannya.

Bayangkan sekiranya kenderaan mangsa terbabit dilengkapi kemudahan terbabit sudah pasti proses siasatan termasuk usaha memburu dalang bertanggungjawab akan menjadi lebih mudah, pantas dan efisien.

Mengambil perbandingan lain, dalam kes kemalangan di Kilometer 51, Jalan Pekan-Rompin, Pahang pada awal bulan ini, seorang warga emas maut selain dua parah setelah kereta Perodua Myvi dipandunya secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta.

Ironinya, nahas itu sempat dirakam oleh pemandu yang kenderaannya dilengkapi dashcam sebelum video terbabit tular dalam laman sosial, malah melalui rakaman berdurasi 60 saat itu sudah cukup untuk menunjukkan punca sebenar kemalangan tersebut.

Senario itu turut diakui pemilik Theofizz Concept, Najee Mahshar (gambar) yang menyifatkan kejadian-kejadian sedemikian mempengaruhi permintaan gajet tersebut dalam kalangan pemilik kenderaan di negara ini walaupun agak perlahan sejak dua tahun lalu.

Jelasnya, kesedaran pengguna semakin meningkat dan jelas sekali terutamanya dalam kalangan generasi muda yang sedar dengan keperluannya.

“Gajet ini bukan sekadar trend sebaliknya keperluan yang mampu merungkai kebenaran khususnya membabitkan kejadian yang tidak diingini seperti kemalangan, jenayah ragut, rompak selain pembuli jalan raya.

“Malah pengguna dashcam juga sedikit sebanyak digunakan bagi membanteras gejala rasuah. Ini kerana rakaman visual dan audio tidak boleh menidakkan kebenaran,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Menurut Najee, mengambil contoh di Rusia, permintaan Dashcam meningkat mendadak sejak 2014 berikutan standard pemanduan di negara berada di tahap berbahaya sehingga mencatatkan kadar kemalangan yang tinggi iaitu 18.6 peratus daripada 100,000 orang berbanding di Amerika Syarikat (11.4) manakala United Kingdom (3.7) berdasarkan statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Keadaan itu juga secara tidak langsung mempengaruhi perubahan sikap dalam kalangan pemandu di Rusia. Kuasa ‘viral’ membuatkan mereka lebih berhati-hati.

“Malah permintaan dashcam di negara lain turut meningkat memandangkan pengguna gajet berkenaan menjadikannya sebagai ‘insurans’ dan perlindungan sekiranya berlaku sebarang kejadian yang kita tidak tahu bila dan di mana ia akan berlaku,” ujarnya.