Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mangsa banjir adalah berdasarkan faktor kemanusiaan yang tinggi tanpa mengira sama ada negeri terbabit dipimpin parti politik yang berbeza.

Sehubungan itu katanya, tidak harus timbul sebarang polemik atau pertikaian mengatakan kerajaan lambat dan tidak menyalurkan bantuan terhadap mangsa-mangsa terlibat.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, saya sendiri, agensi serta jabatan kerajaan semua turun dan berada lebih awal daripada tindakan 'menangis' pemimpin tertentu ketika meng­hubungi saya. Justeru, jangan tuding jari pada pihak lain tetapi tidak akui diri sendiri juga ada kelemahan.

“Sebab yang berlaku (banjir) adalah daripada pembangunan melampau yang mana kelulusan kepada projek diberi melebihi sepatutnya sehingga mengakibatkan hakisan dan runtuhan malah sungai tidak dapat menampung limpahan air selepas hujan lebih 17 jam.

“Kita tidak berhasrat untuk politikkan perkara ini tapi ini fakta atau realiti yang berlaku,” katanya ketika berucap menyempurnakan majlis pelancaran Misi Bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) 2.0 di sini, hari ini.

Misi tersebut digerakkan bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas akibat bencana banjir di Pulau Pinang, Kedah dan Perak ketika ini.

Melalui misi terbabit, Rela me­nerima pelbagai sumbangan se­perti barangan makanan, keperluan asas, alat pembersih serta pemotong kayu yang berjumlah hampir RM90,000 bertujuan membantu proses pembersihan rumah.

Dengan kekuatan hampir 500 pegawai dan anggota serta aset termasuk 19 lori, 17 van, tujuh kenderaan pacuan empat roda serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), misi bantuan itu dimulakan di Pulau Pinang dan Kedah hari ini sementara ne­geri-negeri lain diletakkan dalam keadaan bersiap siaga.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Pusat perlu terus diperkembangkan dalam apa juga perkara kerana kepentingan rakyat keseluruhannya merupakan satu keutamaan.