Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan memberi jaminan caruman ahli terdiri daripada anggota tentera tetap terpelihara dengan perbincangan lanjut mengenainya akan diadakan antara LTAT, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertahanan dan Jabatan Peguam Negara.

Jelas kenyataan itu, perbincangan tersebut melibatkan isu berbangkit berikutan keputusan penamatan kontrak meliputi aspek perundangan dan implikasi kewangan berdasarkan obligasi kontrak.

“Kementerian Pertahanan ambil maklum mengenai polemik kewajaran LTAT terlibat dalam pengendalian AES dan Awas serta saranan supaya siasatan terperinci dijalankan.

“Kementerian juga terbuka terhadap sebarang siasatan pihak berkuasa jika ada isu berbangkit mengenai tadbir urus berkaitan pelaburan LTAT,” kata kenyataan itu di sini, hari ini.

Sementara itu, kerajaan terdahulu diterajui Barisan Nasional bersetuju LTAT mengambil alih projek AES dan Awas daripada Beta Tegap Sdn. Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. dengan konsesinya berkuat kuasa 14 Januari 2015 hingga 31 Ogos 2018.

Walau bagaimanapun, jelas kenyataan itu, pada 17 Ogos lalu, kerajaan Pakatan Harapan memutuskan perjanjian konsesi tersebut ditamatkan mengikut tarikh luput kontrak asalnya.

“Berikutan keputusan tersebut, aspek pengoperasian, pembangunan, senggaraan dan penguatkuasaan AES dan Awas akan diambil alih sepenuhnya Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan,” jelasnya. - UTUSAN ONLINE