Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan berkata, pihak YPKDT kini dalam proses pengambilan pegawai baharu yang berkelayakan bagi menggantikan 65 pegawai terlibat yang ditamatkan perkhidmatan mereka.

"Penamatan kontrak pegawai-pegawai lantikan politik pentadbiran sebelum ini dilakukan setelah membuat penilaian menyeluruh dan mendapati ada antara mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam ilmu agama dan kekeluargaan.

"Pejabat Menteri Besar kesal dengan penularan kenyataan palsu mengenai YPKDT yang dibuat pihak tidak bertanggungjawab dengan niat memberikan imej buruk terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut Pejabat Menteri Besar, kerajaan negeri menyedari tanggungjawab besar yang digalas pihak YPKDT dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam menjalankan program SAKINAH serta Pengerak Masjid dan Surau dalam membentuk keperibadian bangsa dan asas-asas agama yang kukuh.

Justeru, menurut kenyataan itu,program SAKINAH di bawah seliaan YPKDT tidak akan dihentikan malah akan terus ditambah baik dari semasa ke semasa supaya sesuai dengan objektif penubuhannya iaitu untuk menangani masalah sosial dan memperkukuh sahsiah individu, keluarga dan masyarakat.

"Kerajaan negeri juga tidak pernah mengeluarkan arahan kepada JAINJ untuk menamatkan kontrak semua Penggerak Masjid dan Surau seperti yang didakwa, mereka kini sedang melakukan proses penambahbaikkan kaedah pelantikan jawatan tersebut dalam usaha memperkukuhkan lagi institusi agama di negeri Johor," katanya. - UTUSAN ONLINE