Menurut laporan Malaysiakini pada 30 Mei 2018 itu, semua dakwaan tersebut terkandung dalam memorandum kesatuan terbabit bertarikh 26 Mei 2018 yang dihantar kepada Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Malaysiakini dalam laporan berita yang sama juga memetik Pengerusi NUJ Utusan, Taufek Razak mengesahkan kewujudan dan penyerahan memorandum itu kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid.

Jabatan Pengarang juga mempersoalkan niat NUJ Cawangan Utusan Melayu yang melihat kepemimpinan Jabatan Pengarang Utusan sebagai gagal memenangkan BN dan UMNO (pada Pilihan Raya Umum ke-14), seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini itu.

Kesemua dakwaan tersebut adalah fitnah, tidak bertanggungjawab, tidak bermoral dan didorong oleh anasir luar dan pihak tertentu yang mahu menguasai serta memudaratkan Utusan.

Oleh itu Jabatan Pengarang memberi tempoh 24 jam kepada Taufek Razak dan Setiausaha NUJ, Basir Abu Bakar menarik balik semua dakwaan berkenaan, memohon maaf serta melahirkan rasa kesal berhubung tindakan berkenaan.

Jika gagal berbuat demikian, Jabatan Pengarang akan membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang bagi membersihkan nama baik Jabatan Pengarang.

Pada 15 Mei 2018, jurucakap NUJ (dipercayai Taufek dan Basir) telah mengeluarkan kenyataan kepada FMT mendesak UMNO melepaskan pegangan saham dalam Utusan.

Ini bukanlah kali pertama gesaan  seumpama itu dibuat oleh pihak tertentu dalam NUJ.

Jabatan Pengarang Utusan
Tarikh: 30 Mei 2018