Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan, Supri Hashim berkata, Anwar masih menjalani hukuman penjara dan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan.

“Prosedur menetapkan mana-mana banduan adalah tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan atau penyiaran tanpa kebenaran daripada Jabatan Penjara.

“Isnin lalu Anwar diiringi ke Mahkamah Sivil Kuala Lumpur bagi menghadiri perbicaraan yang melibatkan beliau dan berada dalam kawalan pegawai serta anggota penjara, pihak yang tidak berkaitan dengan perbicaraan tidak dibenarkan menemui beliau termasuklah media,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Supri, kenyataan yang diterbitkan pada 14 Ogos itu antara lain menyentuh tentang perusuh dan PRU-14 kononnya dikeluarkan Anwar.

“Gambar yang digunakan bagi tujuan penyiaran kenyataan itu juga bukan gambar sepanjang tempoh Anwar berada di mahkamah pada hari tersebut,” katanya. - UTUSAN ONLINE