Hal demikian kerana, warga emas itu terlalu bimbang memikirkan nasib lebih 30 pembekal yang terdiri daripada golongan memerlukan apabila gerainya di bahu jalan berhadapan kediamannya yang menjadi tempat mereka meletakkan pelbagai jenis kuih muih itu dirampas oleh Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Lebih menyedihkan, perniagaan yang diusahakan Pak Din sejak 20 tahun lalu itu ‘hilang’ dalam sekelip mata hanya disebabkan oleh aduan seorang individu kepada pihak berkuasa berkenaan kononnya kewujudan gerai tersebut mengganggu laluan di tempat awam.

Dalam kejadian itu, lebih 30 anggota MPK dikatakan telah mengangkut gerai beroda Pak Din itu tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepada warga emas berkenaan.

Meskipun Pak Din pernah menerima notis mengenainya pada Julai lalu, namun salah seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam sepucuk surat telah mengesahkan supaya gerai tersebut dibenarkan beroperasi seperti biasa.

“Pak cik tidak kisah gerai tersebut dirampas namun apa yang menyedihkan ia melibatkan ‘periuk nasi’ ramai pembekal terdiri daripada ibu tunggal, warga emas, dan golongan asnaf yang menumpang meletakkan kuih selama ini.

“Takkan disebabkan aduan seorang yang tidak tahu apa motifnya menyebabkan MPK bertindak demikian. Sedangkan hampir keseluruhan penduduk di taman tersebut sebelum ini telah menandatangani surat menyokong saya berniaga di situ dan lokasi itu langsung tidak mengganggu lalu lintas. Lagipun saya bukan tidak mempunyai lesen.

“Saya harap pihak MPK dapat mengkaji semula tindakannya itu dan memulangkan kembali barangan yang dirampas itu selain membenarkan saya kembali berniaga di situ,” katanya.

Tambahnya, pada masa ini, dia terpaksa menghentikan dahulu perniagaan buat sementara waktu kerana masih terkejut dengan tindakan MPK itu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd. Jalil berkata, beliau simpati dengan nasib yang menimpa Pak Din selain mengecam tindakan pihak berkuasa itu.

“Saya dapati Pak Din mempunyai lesen namun hanya kerana bantahan daripada seorang penduduk, MPK terus mengambil tindakan. Sedangkan keseluruhan penduduk taman ini tidak mempunyai sebarang masalah dan sentiasa menyokong Pak Din yang sudah puluhan tahun berniaga di kawasan itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE