Anehnya, pihak itu juga selama ini mendabik dada sebagai pejuang demokrasi, dengan hak berhimpun secara aman merupakan teras dalam prinsip hak asasi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan instrumen perundangan antarabangsa.

Sepatutnya, portal dan beberapa pemimpin politik itu harus mengalu-alukan ratusan ribu rakyat Malaysia yang berhajat menyertai perhimpunan itu di ibu negara kerana ini memperlihatkan bagaimana hak asasi manusia dijamin oleh kerajaan Malaysia Baharu.

Soal niat penganjuran perhimpunan itu tak perlulah diperdebatkan kerana sampai bila pun tak akan bernoktah, yang jadi kerajaan sekarang dulunya pembangkang dan pembangkang sekarang duduk di kerusi kerajaan juga.

Tidak dinafikan, setiap perhimpunan massa seperti Sabtu ini tidak digemari pimpinan kerajaan, sama macam kerajaan yang dulu kerana hak berhimpun selalu dikaitkan dengan hak untuk protes. 

Maka, kejayaan menghimpunkan jumlah yang ramai di jalanan akan memberikan satu gambaran lain dan mampu membangkitkan apa yang tidak digemari parti lawan, andai sasaran peserta dicapai.

Dan sejarah dunia banyak memperlihatkan perkara ini, tetapi selagi mana tujuan berhimpun bukan untuk menjatuhkan kerajaan yang telah dipilih secara sah, tidak ada-apa yang sepatutnya menghalang.

Apa pun, terima kasih kepada pihak berkuasa yang memberikan lampu hijau kepada acara Sabtu ini, dan yang hadir ikutlah peraturan agar berlangsung aman, barulah Malaysia baharu. 

Yang penting, lagi ramai peserta, itulah sebaik-baiknya. Sebabnya ini penting untuk memberi mesej kepada kerajaan tidak kiralah parti mana pun yang menguasai Putrajaya selepas ini bahawa ICERD tidak boleh diratifikasi kerana bertentangan Perlembagaan.

Kalau yang masih kata ICERD tidak berlawanan Perlembagaan, jawab ini pada mereka:

“Perkara 153 mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera tidak pernah menetapkan had masa sedangkan Artikel 1(4) ICERD walaupun membenarkan diskriminasi positif tetapi menyebut soal masa.” Fakta ini jangan disembunyi oleh pro-ICERD. -UTUSAN ONLINE