Demikian persoalan dilontarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan kepada Mohd. Shafie yang kini cuba mengaitkan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap penyelewengan dana KKLW semasa diterajui Mohd. Shafie.

Abdul Rahman berkata, hakikatnya Musa selama ini telah meminta agar Mohd. Shafie bekerjasama dalam melaksanakan pembangunan infrastruktur di Sabah tetapi tidak pernah dilayan, justeru bekas Naib Presiden UMNO itu wajar dipersalahkan serta tidak sepatutnya menggunakan imuniti Dewan Rakyat untuk mengaitkan pihak lain terhadap siasatan ke atas dirinya.

“Kalaulah KKLW ini telah berjalan dengan baik seperti mana Mohd. Shafie kata, kenapa masih lagi ada masalah air dan elektrik di Sabah, itu saja sangat mudah.

“Tan Sri Musa Aman beberapa kali semasa Mohd. Shafie berada dalam kerajaan berjumpa dengan Perdana Menteri dan kepemimpinan Persekutuan memberi komen bahawa KKLW tidak pernah memberitahu kerajaan negeri tentang perancangan mereka di Sabah.

“Ini amat diketahui bukan sahaja sebab dia disiasat tetapi orang ramai mempertikaikan projek-projek KKLW ini, jadi bagi saya jangan guna Dewan Rakyat untuk menyalahkan orang lain kerana anda ada imuniti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Transformasi Sosial, Komuniti dan Pembangunan Mapan 2017 (ICSTCSD 2017) di sini hari ini.

Abdul Rahman berkata demikian bagi membidas kenyataan Mohd. Shafie di Dewan Rakyat semalam bahawa Loji Rawatan Air Sungai Intan di Semporna yang disiasat SPRM telah diserahkan kepada syarikat yang mempunyai kaitan dengan Ketua Menteri.

Pada 20 Oktober lalu, Mohd. Shafie ditangkap SPRM bagi membantu siasatan penyelewengan dana KKLW sebanyak RM1.5 bilion yang berlaku semasa beliau menjadi Menteri KKLW.

Loji Rawatan Air Sungai Intan yang terletak di Parlimen Semporna iaitu kawasan Mohd. Shafie merupakan antara yang disiasat kerana gagal membekalkan sumber air bersih walaupun pembinaannya menelan belanja RM45 juta.

Kegagalan loji berkenaan menyebabkan lebih 3,000 penduduk di beberapa kampung termasuk Kampung Sungai Intan terpaksa bergantung sepenuhnya dengan air perigi untuk kegunaan harian. - UTUSAN ONLINE