Pendakwah terkenal, Sheikh Hussain Yee berkata, kebanyakan golongan yang menentang fatwa-fatwa baharu ini adalah kerana mereka tidak begitu faham dengannya atau mungkin dipengaruhi oleh unsur-unsur politik apatah lagi dengan penggunaan media sosial tanpa batasan ketika ini.

Untuk itu, beliau mencadangkan agar khutbah Jumaat dijadikan platform Majlis Fatwa Kebangsaan untuk menerangkan dengan lebih jelas mengenai keputusan majlis tersebut agar lebih mudah difahami dan tidak mengelirukan.

“Saya perasan bahawa kebanyakan golongan ini menolak kerana mereka merasakan fatwa tersebut tidak begitu jelas dan wujud unsur politik. Masyarakat perlu dididik kerana secara amnya, segelintir ahli agama gagal mendekati masyarakat, gagal mengatasi isu semasa kerana tidak begitu praktikal dan hanya menilai sahaja.

“Jika fatwa hanya dikeluarkan mengikut pandangan, itu yang timbul masalah, orang awam pun ada pandangan mereka sendiri. Pandangan dengan pandangan tidak akan dapat selesai, sebab itu Allah berfirman apabila kamu berselisih faham dalam apa juga urusan, kembalilah kepada al-Quran dan as-sunnah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Online selepas menghadiri majlis penutup Persidangan Khayr Ummah 2017 (KUC) yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Sheikh Hussein mengulas pertanyaan mengenai tindakan segelintir masyarakat Islam di negara ini yang gemar menentang fatwa-fatwa baharu yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan di media sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata, umat Islam di negara ini dinasihatkan agar tidak melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan keraguan masyarakat serta menimbulkan fitnah terhadap agama.

“Masalah seperti ini tidak sepatutnya berlaku sebaliknya timbul kerana kekeliruaan umat Islam itu sendiri. Contohnya, kita tidak boleh minum arak tetapi bolehkah kita pakai botol arak dengan memasukkan air lain ke dalamnya dan minum? Bukan tidak halal tetapi tidak cantiklah.

“Botol itu bukannya haram, tetap botol tetapi oleh kerana ada jenama yang umumnya orang nampak sudah tahu itu adalah minuman haram, tidak perlulah sampai ke peringkat itu. Kita umat Islam janganlah membuat sesuatu yang boleh mendatang kekeliruan kepada diri, fitnah kepada agama,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE