Namun dengan adanya buku foto berjudul Grit & Grace: The Grandeur of Monochrome Malaysia, pembaca boleh berbuat demikian walaupun tanpa keluar dari rumah masing-masing.

Mempunyai 330 halaman, buku tersebut menyajikan lebih 250 gambar menarik tentang keindahan landskap Malaysia dan penduduknya.

Ironinya, kebanyakan gambar landskap tersebut dirakamkan penulis buku itu yang juga seorang wartawan foto, SC Shekar dengan menaiki helikopter.

Menurut Shekar, idea menghasilkan buku bergambar itu tercetus kira-kira empat tahun lalu ketika beliau sedang melakukan tugasan di Sarawak menggunakan helikopter.

Melihatkan pemanda­ngan land­­skapnya yang indah dari udara, beliau terfikir untuk berkongsikan pengalaman itu dengan seluruh rakyat Malaysia kerana tidak ramai yang berpeluang untuk berbuat demikian.

“Saya fikir penting untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana rupa bentuk sebenar negara ini, khususnya menerusi pemandangan daripada helikopter.

“Selain mengambil gambar dari udara, saya juga mendarat di kawasan-kawasan yang sukar untuk kenderaan lain masuk seperti perkampungan Orang Asli dan kawasan pedalaman lain. Saya tinggal bersama mereka dan merakam kehidupan mereka.

“Dalam proses menghabiskan projek ini, saya dapat melihat `Malaysia yang sebenar’ yang kebanyakan orang kita tidak dapat peluang untuk menyaksikannya” katanya.

Menurut Shekar, Grit & Grace: The Grandeur of Mono­chrome Malaysia diter­bitkan bagi memberi peluang kepada rakyat di negara ini untuk lebih me­ngenali Malaysia dari aspek sejarah, geografi dan budaya.

Beliau berkata, Malaysia bukan setakat mempunyai bandar Ku­­ala Lumpur atau Menara Berkembar Pet­ronas (KLCC), sebaliknya memiliki lebih daripada itu yang perlu diketahui khusus­nya oleh seluruh rak­yat di negara ini.

Menjelaskan mengenai konsep hitam putih pada setiap gambar, Shekar berkata, konsep itu akan membuatkan pembaca lebih fo­kus menghayati gambar dan maksud di sebaliknya.

Hitam putih pada setiap potret manusia pula menggambarkan semua rakyat di negara ini bersatu dan tidak dibezakan oleh warna kulit.

Bab-bab di dalam Grit & Grace: The Grandeur of Monochrome Malaysia pula diatur mengikut ne­geri dengan setiap bab mempunyai 16 halaman.

Terdapat 15 gambar landskap pilihan yang berukuran 1.22 meter panjang dimuatkan dalam buku tersebut bagi memberi ke­puasan kepada pembaca untuk menikmati pemandangannya.

Menurut Shekar, Grit & Grace yang dipilih sebagai tajuk buku tersebut mewakili aspirasi sebuah negara yang telah mengecapi begitu banyak pencapaian walaupun baru 60 tahun mencapai kemerdekaan.

“Grit dalam konteks ini bermaksud keazaman, ketabahan dan keyakinan manakala Grace merujuk kepada pemikiran, pemahaman dan penambahbaikan.

“Apabila digabungkan, sifat-sifat mulia ini yang memacu dan memotivasi kita untuk mencapai sebaik yang kita boleh,” katanya.

Bagi memberi peluang orang ramai mendekati karya-karya yang dimuatkan dalam Grit & Grace: The Grandeur of Monochrome Malaysia, satu pameran akan diadakan di No. 2 (bangunan lama OCBC), Jalan Hang Kasturi di sini bermula dari 16 September hingga 16 Oktober ini.

Pameran dibuka setiap hari dengan kemasukan adalah percuma. Orang ramai juga berpeluang menyaksikan majlis pelancaran buku tersebut di lokasi pameran pada 23 September ini.

Grit & Grace: The Grandeur of Monochrome Malaysia merupakan salah satu inisiatif yang mendapat sokongan Khazanah Nasio­nal (Khazanah) sempena Hari Kebangsaan 2017 dan bulan kemerdekaan.

Selain dalam bentuk cetakan, projek fotografi itu juga diterbitkan dalam bentuk e-book.

Mereka yang berminat untuk membeli buku tersebut dan ingin mengetahui maklumat lanjut mengenainya boleh layari www.schekar.com/gritandgrace.