Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perkara itu telah dijelaskan sendiri oleh pengendali rantaian restoran makanan segera itu, QSR Brands (M) Holdings Bhd. (QSR Brands) dalam pertemuan dengan mereka pada Jumaat lalu.


Beliau menjelaskan, QSR Brand memberitahu kenaikan kos pengeluaran itu disebabkan konsep rantaian dari satu tempat ke satu tempat lain.


“Pada masa sama, QSR merupakan pemegang francais jenama antarabangsa dan mereka terikat dengan syarat francaisor dan francaise.


“Contoh dalam penjelasan mereka, mereka terikat dengan syarikat pembekal yang terkandung dalam syarat sedia ada walaupun bahan seperti rempah ratus dan keju dijual murah oleh syarikat pembekal lain,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Penerima Cemerlang (APC) di kementeriannya di sini hari ini.


Akhbar baru-baru ini melaporkan QSR Brands mengesahkan berlakunya peningkatan harga jualan bagi set menu tertentu di rangkaian restoran makanan segera KFC.


Peningkatan itu berlaku ekoran pelarasan margin ke atas harga produk ditawarkan, sekali gus membolehkan mereka terus menawarkan kualiti terbaik kepada pengguna.


Mengulas lanjut, Saifuddin menambah, pihaknya telah menghantar pegawai untuk menjalankan siasatan dan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan terhadap QSR Brands.


Tegasnya, tindakan itu dijalankan selepas masyarakat mengeluh di media sosial dan akhbar apabila berlaku peningkatan harga makanan tersebut.


“Saya juga akan mengadakan pertemuan dengan McDonald’s hari ini untuk membincangkan mengenai perkara sama,” katanya. - UTUSAN ONLINE