Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, inisiatif itu merupakan satu penambahbaikan ketara kepada Belanjawan 2019 yang membekukan semua kenaikan kadar tol di lebuh raya dalam bandar sahaja untuk tahun hadapan.

Beliau berkata, kerajaan menganggarkan bahawa pembekuan kadar tol bagi semua kelas kenderaan di 21 lebuh raya akan melibatkan kos bayaran pampasan sebanyak RM972.75 Juta kepada syarikat konsesi lebuh raya yang berkenaan.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju membekukan kenaikan kadar tol untuk kenderaan Kelas Lima (bas) dengan anggaran kos RM1.68 Juta di lapan lebuh raya berasingan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Guan Eng, kerajaan juga akan memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) dan Lebuhraya Laluan Kedua di Johor.

“Pemansuhan tol motosikal itu telah diumumkan dalam Belanjawan 2019 dan langkah pemansuhan ini dianggarkan memerlukan peruntukan RM20 Juta setahun daripada kerajaan untuk bayaran pampasan mulai 1 Januari depan.

“Secara keseluruhan, kos kerajaan pada tahun hadapan bagi pampasan tol dianggarkan sebanyak RM994.43 juta. Perbelanjaan ini adalah untuk memanfaatkan rakyat Malaysia,” katanya. - UTUSAN ONLINE