Dianggotai enam anak muda iaitu Ruri (vokal), Hexa (gitar), Ei (gitar), Lafi (bass), Chiel (drum) dan Tyar (keyboard), bagi kumpulan ini, lambat atau cepat mencipta nama di negara ini bukanlah suatu masalah kerana mereka yakin bahawa rezeki dalam bidang muzik ada buat mereka.

Bicara Ruri, mereka berenam tidak pernah berkecil hati sekiranya ada band-band seangkatan dari Indonesia yang terlebih dahulu meniti bibir peminat di Malaysia.

“Setelah berjaya menempatkan diri menerusi single Sandiwara Cinta dan Selimut Tetangga, apa yang kami fikirkan kini hanyalah memberikan muzik dan persembahan terbaik buat peminat di sini.

“Malah, kejayaan dua single tersebut sudah membuktikan kami sudah mula diterima dan diminati,” katanya.

Berkongsi rahsia kejayaan dua single yang berjaya menjadi hits selepas diputarkan di stesen-stesen radio tempatan, Ruri menjelaskan, setiap lagu yang dihasilkan mereka adalah berkisarkan tentang kehidupan sebenar.

“Sebagai contoh, lagu berjudul Sandiwara Cinta menceritakan tentang kisah dirinya yang ditinggalkan kekasih kerana tidak memiliki wang dan harta.

“Oleh itu, lagu-lagu yang dinyanyikan sengat dekat dengan diri kami. Maka, penyampaian juga amat mendalam dan begitu ikhlas dari hati,” akuinya.

Tidak dapat dinafikan, kejayaan yang ditempa mereka hari ini adalah bermula daripada 1001 kisah kepahitan.

Ujar vokal Repvblik itu lagi, ketika peringkat awal menceburi bidang muzik sekitar tahun 2006, mereka pernah berdepan dengan kritikan sebagai band yang tidak berbakat atau tidak boleh pergi jauh dalam industri muzik Indonesia.

“Pernah satu ketika, sekitar 2008 dan 2009, kami berkarya tetapi karya-karya kami itu tidak membawa keuntungan. Ketika itu, kami memang berasa tertekan dan putus asa sehingga kami terfikir untuk tidak mahu bermain muzik lagi.

“Tetapi antara kami saling memotivasikan diri untuk meneruskan perjuangan Repvblik dalam segala laluan pahit kami,” katanya.

Sementara itu, baru sahaja mengadakan persembahan di Anugerah MeleTop Era (AME), kata Ruri memang dia berhasrat untuk mengadakan konsert di negara ini suatu hari nanti.

“Melihatkan sambutan hangat semasa mengadakan persembahan di AME tempoh hari, memang kami teringin untuk mengadakan konsert dengan skala yang lebih besar. Keterbukaan peminat muzik di negara ini sangat dihargai.

Sebelum mengakhiri perbualan, Ruri memberitahu, Repvblik turut berhajat untuk berduet bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza. 
– DHIYA’ZULHILMI DAUD / FARIZ RUSADIO