Kira-kira 10 ekor gajah itu me­la­lui kawasan ladang sawit pada pukul 9 pagi ini berdekatan jalan raya dipercayai untuk mencari makanan di kawasan berdekatan Felda Kota Gelanggi 1 dan Kota Gelanggi 3.

Seorang pengguna jalan raya berkenaan, Mohd. Fazil Awang, 29, berkata, dia memberhentikan keretanya setelah melihat orang ramai berdiri di atas jambatan sambil memandang ke arah ladang sawit.

“Saya terkejut melihat sekumpulan gajah liar berjalan di denai berlumpur ladang berkenaan sambil mematahkan pelepah pokok kelapa sawit dan pokok kecil.

“Haiwan ini tidak menghiraukan orang ramai yang menjerit dan kebetulan pula banyak kenderaan berada di atas jalan raya,” katanya.

Dalam pada itu, seorang penduduk Pulau Tawar, Mohd. Kamal Bidin, 53, berkata, kehadiran gajah liar dikesan sejak hampir tiga tahun lalu yang melalui denai dari hutan berdekatan Felda Kota Gelanggi ke pinggir Kampung Bukit Rang dan Kampung Bukit Nikmat untuk mencari makanan.

“Haiwan ini semakin agresif menceroboh kampung, kawasan pertanian dan ladang sawit berikutan habitat berkenaan di Hutan Simpanan Lepar dan Hutan Simpanan Hulu Tembeling musnah akibat pembalakan,” tambahnya.