Tidak keterlaluan juga untuk menyatakan keunikan iklan keluaran syarikat minyak nasional itu sudah sinonim seperti 'ketupat dan rendang'.

Reputasi Petronas melalui ik­lan rayanya juga bukan hanya dikenali dengan persembahan sine­matografi yang kreatif tetapi sarat dengan nilai-nilai perpaduan, kekeluargaan, pengorbanan dan keinsafan.

Bahkan paparan seni visual menerusi filem pendek yang menyentuh emosi dan menyemarakkan nostalgia hari lebaran yang disiarkan melalui kaca TV itu kini turut popular melalui perkongsian di internet.

Dialog dan babak seperti Bu­rung apa, Burung murai? Kalau tak boleh bergurau, pergi la surau! sketsa orang Kuala Pilah baru balik dari London; kisah tujuh beradik bawa balik lembu menaiki rakit dan banyak lagi pasti masih segar dalam ingatan kita semua.

Tahun ini, Petronas mempersembahkan filem pendek berdurasi empat minit yang mengimbau pengalaman Hakim iaitu pelajar sekolah yang ber-puasa penuh buat pertama kali.

Iklan bertajuk Donut Ke Karipap berkisar tentang cabaran berpuasa yang dilalui Hakim sehingga mencuri perhatian empat rakan karibnya iaitu Ah Keong, Anang, Joseph dan Aarati.

Iklan yang diarahkan oleh Ismail Kamarul itu bermula dengan monolog Hakim yang yakin untuk menahan diri daripada makan dan minum selama 14 jam. Apatah lagi bila dijanjikan dengan sajian-sajian lazat pa­da waktu berbuka oleh ibunya.

Namun, suasananya berbeza ke­tika di sekolah, Hakim yang baru beberapa jam berpuasa mula keletihan. Bunyi perutnya yang ber­kerongcong kelaparan memecah kesunyian dalam bilik darjah.

Gelagat Hakim mencuit hati rakan sekelas yang kemudian cuba mengalih perhatiannya de­ngan bercerita tentang bola sepak. Konsentrasi Hakim bagaimanapun gagal apabila imaginasi bola yang sedang bergolek laju bertukar menjadi donut.

Bersimpati melihat apa yang dilalui oleh Hakim, rakan-rakannya turut berpuasa pada keesokan harinya. Telatah dan gelagat rakan-rakan Hakim ketika menahan lapar pasti mengimbau kese­ronokan berpuasa ketika zaman persekolahan.

Lewat petang itu selepas habis waktu sekolah, keriangan untuk berbuka puasa di rumah Hakim dipaparkan melalui keriuhan suasana di dalam bas sekolah.

Namun, sebaik sahaja turun dari bas, Hakim berdepan dengan satu lagi cabaran apabila perhatiannya tertumpu kepada gerai karipap di seberang jalan.

Menggunakan kesan gerak per­lahan yang dramatik, Hakim dilihat meluru ke gerai berkenaan lalu memasukkan beberapa biji karipap ke dalam beg plastik.

Menyangkakan puasa Hakim akan berakhir di situ, sabahat-sahabat Hakim cuba menghalang, namun usaha itu gagal apabila pandangan mereka dihalang oleh sebuah lori tangki yang melintas di hadapan mereka.

Klimak iklan raya Petronas pada tahun ini bagaimanapun tidak berakhir di situ sebalik­nya terisi dengan nilai-nilai ke­muliaan Ramadan apabila Hakim dilihat menyerahkan karipapnya kepada golongan yang memerlukan.

Seperti tahun-tahun sebelum ini, iklan raya Petronas tahun ini sarat dengan pengajaran yang menyampaikan mesej kesyukuran dan pengorbanan.

Simboliknya, ia mengajak kita untuk terus berpegang pada nilai tradisi di samping terus menghargai perbezaan budaya yang dikongsi masyarakat pelbagai kaum di negara ini.