Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, syarikat pemberi kemudahan kredit se­perti Agrobank merupakan antara entiti yang penting dalam melahirkan kekayaan-kekayaan baharu dalam sektor pertanian sekali gus menyokong ekonomi negara.

“Kemudahan kredit yang baik juga memainkan peranan pen­ting bagi mengembangkan salah satu sektor yang berpotensi besar untuk diterokai dalam pertanian iaitu agro makanan. Kita berharap syarikat-syarikat pemberi kemudahan kredit ini akan terus komited dalam membantu usahawan-usahawan yang sedang membina tapak.

“Di zaman yang melihat kepada perniagaan sebagai sumber kekayaan ini, semakin maju sesebuah negara, semakin mudah rakyatnya menjalankan perniagaan,” katanya sewaktu berucap dalam majlis Anugerah Agropreneur Agrobank 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Dalam majlis tersebut, sebanyak lapan kategori dipertandingkan dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM140,000.

Tambah Ahmad Shabery, selain kemudahan kredit yang baik, kreativiti dan inovasi perlu menjadi tonggak utama dalam memastikan sektor pertanian dapat melonjak sebagai pemain ekonomi utama negara seterusnya ke peringkat antarabangsa.

“Contohnya untuk mengembangkan bidang agro makanan yang begitu besar, kita memerlukan kreativiti dalam kalangan usa­hawan, rakan-rakan di kemen­terian dan pihak yang membantu mereka untuk membiayai perniagaan serta pembangunan keusa­hawanan bagi memastikan kita tidak ketinggalan.

“Dalam masa yang sama, rakan-rakan di kementerian perlu memikirkan cara untuk memudahkan urusan perniagaan usahawan-usahawan baharu contohnya dalam mendaftar perniagaan, permohonan lesen dan sistem percukaian yang efisien,” katanya.