Kementerian Pertahanan dalam kenyataannya di sini berkata, ia termasuk Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, bantuan kemasukan ke universiti awam atau politeknik, bantuan peralatan pesakit, bantuan bencana alam dan lain-lain.


Jelas kenyataan tersebut, kerajaan PH turut menambah peruntukan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM kepada RM98,006,000 melalui Bajet 2019.


“Kerajaan juga telah meluluskan bantuan khas RM500,000 untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan bekas tentera.


“Selain itu, kerajaan turut merancang meningkatkan penglibatan agensi awam dan swasta demi menjaga kebajikan serta menambahbaik taraf sosio ekonomi veteran ATM,” katanya hari ini.


Semalam, bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam perjumpaan bersama Veteran ATM di Kuala Lipis, Pahang melahirkan keresahan mengenai masa depan golongan veteran ATM yang dilihat tidak mendapat pembelaan sewajarnya di bawah kerajaan Pusat.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Sembrong berkata, tidak ada apa-apa yang bermakna dilakukan kerajaan PH dalam membantu golongan veteran selepas sembilan bulan memerintah negara. - UTUSAN ONLINE.