Justeru, Pejabat Kesihatan Daerah dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan menganjurkan Kempen Menutup Makanan Jualan bagi meningkatkan kesedaran peniaga bermula semalam.

Pegawai Kesihatan Daerah, Dr. Noor Hashimah Abdullah berkata, pihaknya memandang serius isu berkaitan keselamatan dan kualiti makanan selaras dengan hasrat Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan untuk menjadikan negeri ini sebagai Gerbang Makanan Sihat tahun 2020.

"Sepanduk dan gegantung Terima Kasih Menutup Makanan Anda diletakkan di kawasan bazar Ramadan sejak awal lagi.

"Kita memberi penekanan terhadap aspek menudung makanan kerana amalan menjual makanan yang terdedah mengundang kepada kes keracunan dan sebagainya," katanya.

Pada program di Bazar Ramadan Pasir Puteh kelmarin, Dr. Noor Hashimah bersama Setiausaha Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP), Rosdi Yaacob dan Penolong Ketua Jajahan (Pembagunan Fizikal), Mohd. Khalis Syafiq Muhamad Nor mengagihkan bekas bertutup, risalah, apron dan sarung tangan kepada peniaga.

Dr. Noor Hashimah berkata, sebanyak 312 gerai makanan di bawah MDPP dan persendirian diperiksa sejak awal Ramadan lalu oleh anggota penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah.

Menurutnya, 17 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

"Kita juga mengekuarkan notis di bawah Peraturan 33(1)(f) kerana memakai perhiasan diri seperti jam, pin dan eksesori lain semasa mengendalikan makanan," katanya.

Tambahnya, jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009, mereka yang bersalah boleh didenda RM10,000 atau penjara tidak lebih dua tahun. - UTUSAN ONLINE