Pengerusi Perbadanan Ta­bung Pendidikan Tinggi Nasio­nal (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan berkata, kempen julung kali diadakan itu bukan sahaja menarik perhatian masyarakat, malah memupuk budaya menabung sebagai jaminan pendidikan masa depan.

Beliau berkata, tidak sampai 10 jam kempen itu dilancarkan, 30 akaun deposit baharu Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dibuka dengan amaun terkumpul RM50,000.

“Untuk tempoh tiga hari kempen ini diadakan di pusat beli-belah 1Utama, kami (PTPTN) sasarkan 1,300 akaun baharu akan dibuka dengan nilai­nya sebanyak RM1.5 juta.

“Sasaran ini realistik kerana kalangan ibu bapa mulai sedar akan kebaikan menabung melalui skim ditawar oleh PTPTN dan mereka layak menikmati pengecualian cukai,” katanya dalam majlis pelancaran rasmi Kempen Minggu Menabung SSPN 2018 di sini hari ini.

Kempen tiga hari bermula 5 hingga 7 Oktober 2018 di pusat beli-belah 1Utama diadakan bersempena Hari Menabung Sedunia yang disambut pada bulan Oktober setiap tahun.

Dengan tema #mulasekarang, kempen kesedaran tabu­ngan ini akan berlangsung serentak di kesemua 13 lokasi pejabat PTPTN seluruh negara esok.

Menurut Wan Saiful, PTPTN turut akan mempelbagaikan kae­­dah promosi dan kempen kesedaran menabung dalam ka­langan rakyat termasuk meng­gunakan khidmat golongan agamawan menghebahkannya.

“Kami sangat berharap, penceramah dan ahli agama turut menghebahkan keperluan, kebaikan menabung demi masa depan memandangkan ilmu dan pendidikan sebahagian tuntutan dalam Islam,” katanya.

Sementara itu, Wan Saiful berkata, PTPTN mempertimbangkan bantuan bersesuaian untuk anak-anak mangsa lemas dalam tragedi yang meragut nyawa enam penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM).

Menurutnya, Wan Saiful Wan Jan berkata, atas dasar simpati terhadap nasib yang menimpa keluarga semua mangsa, pihak­nya merancang untuk menyalurkan bantuan bersesuaian khususnya bagi memastikan nasib anak-anak mereka terbela.

“Buat masa ini, cadangannya adalah membuka akaun SSPN untuk semua anak mereka, nilai atau amaunnya hanya akan dimuktamadkan setelah pihak PTPTN bertemu dengan setiap waris terlibat,” katanya.