AB AZIZ KAPRAWI

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, berikutan itu, pendekatan baharu yang bersifat revolutionary perlu diwujudkan selaras dengan sasaran pengurangan kadar kematian dan cedera parah akibat kemalangan jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2020.

‘‘Rancangan untuk mengurangkan kadar kemalangan itu sudah ada dari 2011 sehingga 2020 tetapi ia bukan berkurang sebaliknya bertambah naik. Kesimpulannya, rancangan yang ada di negara ini gagal. Kita kena akui kita gagal.

‘‘Kita tidak mahu 2018 kelak statistik kemalangan maut naik sehingga 8,000 orang jadi, kita perlu lebih serius,’’ kata­nya kepada pemberita selepas menyem­purnakan Majlis Peras­­­­­mian Hari Memperingati Mang­sa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Shaharuddin Khalid; Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye dan Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya(JKJR), Datuk Rosli Isa.

Mengulas lanjut, Ab. Aziz berkata, pendekatan baharu itu perlu digerakkan secara bersama oleh kementerian serta pihak-pihak berkepentingan termasuk JKJR, Miros, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Kerja Raya bagi mencari kaedah penyelesaian terbaik.

Kata beliau, pihaknya juga akan berusaha ke arah mencontohi model sistem keselamatan jalan raya negara-negara maju se­per­ti Sweden yang dilihat berjaya dalam me­ngurangkan kematian dan kemalangan jalan raya sehingga 10 kali ganda lebih rendah berbanding Malaysia.

‘‘Sweden misalnya, mencatatkan hanya 263 kematian akibat kemalangan jalan raya pada tahun lalu. Dengan jumlah penduduk seramai 9.9 juta kadar kematian akibat kemalang­an jalan raya di negara itu adalah serendah 2.65 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

‘‘Berbanding Malaysia, kadar­nya adalah 22.35 orang bagi setiap 100,000 penduduk. Purata 20 kematian setiap hari atau satu kematian bagi setiap 78 minit ini amat sedih dan membimbangkan. Langkah yang lebih berkesan dan menyeluruh perlu diambil bagi menya­mai pencapaian negara maju yang lain,’’ katanya.

Selain sikap pemanduan yang berhemah, katanya, kementerian juga akan menekankan kepada penguatkuasaan lebih tegas terutama membabitkan motosikal yang menjadi penyumbang tertinggi kes kemalangan pada tahun lalu iaitu sebanyak 670,935 kes.

Sementara itu, ditanya berhubung tindakan kementerian dalam membendung sikap ramai pemandu yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu, beliau berkata, penguatkuasaan akan te­rus digerakkan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis.

Walau bagaimanapun, katanya, cabaran yang dihadapi agensi-agensi tersebut dalam melakukan penguatkuasaan adalah penggunaan cermin gelap dalam kalangan pemandu.

“Bagaimana penguatkuasaan akan dijalankan jika menggunakan cermin gelap? Sebab itu penggunaan cermin gelap adalah satu kesalahan kerana mereka cuba bersembunyi dan mengelakkan dari penguatkuasaan. Oleh itu, penguatkuasaan seperti ini perlu diperkemaskan,” katanya.