Menteri Perusahaan Perlada­ngan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, pihak­nya sedang berusaha melobi dan menggunakan jalinan hubu­ngan baik dengan pihak-pihak pemegang taruh atau pemegang amanah di Eropah untuk mena­ngani isu tersebut.

“Bagi pihak Kerajaan Malaysia juga, saya telah menulis kepada semua Menteri Tenaga di EU untuk menyatakan pendirian Malaysia mengenai tindakan di­s­­kriminasi ini. Ia disusuli pertemuan de­ngan mereka di Eropah baru-baru ini.

“Dalam pertemuan itu, kita te­lah mengingatkan mereka bahawa minyak sawit keluaran Malaysia telah memenuhi piawaian-pia­waian ketat yang diperlukan, dan ia telah diperakui sebagai lestari oleh skim-skim kemampanan Eropah yang terkemuka, terma­suk Skim Pensijilan Kelestarian & Karbon Antarabangsa (ISCC) dari Jerman,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Malaysia mengeksport hampir dua juta tan minyak sawit ke EU pada tahun lepas iaitu kira-kira 12 peratus daripada jumlah ke­seluruhan eksport minyak sawit.

Daripada jumlah tersebut seba­nyak 0.6 juta tan digunakan sebagai bahan mentah untuk menghasilkan bahan bakar bio di sana, manakala sebanyak 0.215 juta tan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit diimport terus dari Malaysia.

EU merupakan pasaran terbesar minyak sawit Malaysia selepas India.

Menurut Siew Kong, berbilion ringgit pendapatan eksport sawit boleh lesap sekiranya cadangan EU melarang penggunaan bahan bakar bio berasaskan sawit menjadi realiti.

Lebih teruk, katanya, ia memberi kesan kepada kira-kira 3.2 juta rakyat Malaysia terdiri daripada pekebun kecil, ahli keluarga serta masyarakat luar bandar yang bergantung kepada minyak sawit untuk kelangsungan hidup.

“Masa depan jutaan sahabat-sahabat kita ini akan terancam secara mendadak jika cadangan larangan ke atas penggunaan bahan bakar bio berasaskan minyak sawit ini dikuatkuasakan kelak.

“Kerajaan Malaysia bersama anda, dan kita akan terus memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah setiap hari untuk menghentikan larangan yang mendiskriminasi dan tidak adil ini.

“Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah mengumumkan bahawa Malaysia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan balas terhadap larangan EU tersebut,” katanya.