Tinjauan wartawan Utusan Malaysia ke salah sebuah perkampungan masyarakat Bidayuh menyaksikan sendiri suasana sambutan perayaan Gawai.

Menurut Ketua Kampung Simpok, John Jinggut, sambutan tersebut sebenarnya telah bermula sejak minggu lalu dan kemuncaknya pada pesta pada malam 1 dan 2 Jun.

Katanya, kampung mereka yang mempunyai kira-kira 3,000 penduduk telah mengadakan Pesta Sungai dengan acara rakit berhias, sukaneka dan ratu cantik pada 26 Mei lalu.

"Pada sebelah pagi, kami akan pergi sembahyang di gereja sebelum membuat rumah terbuka sepanjang hari.

"Kemudian sebelah malam, pesta gawai dianjurkan dengan menyambut tetamu dan tarian tradisional mengelilingi sanggar dengan membaling beras kunyit bagi memberi berkat kepada gawai," katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persembahan tarian tradisional lain juga dipertontonkan seperti Tarian Rejang (helang) dan Berayun yang menyeru roh baik.

"Bagi memeriahkan pesta, kita mengadakan karaoke, cabutan bertuah dan permainan untuk orang ramai hingga lewat malam.

"Makanan seperti lemang, roti jala, ayam pansuh, pekasam ikan, daging dan kek juga dibawa masing-masing ke tapak pesta," jelasnya.

Bagi Jerome Baron, 50, berasal dari Perancis yang menetap di Johor memberitahu, dia sudah enam tahun mengikuti isteri pulang ke kampung halaman menyambut Gawai di situ. 

"Saya gembira dan seronok dapat menyertai perayaan Gawai bersama masyarakat di sini," ujarnya. - UTUSAN ONLINE